sekadar hiasan |
PASIR PUTEH - Seorang jururawat
masyarakat yang bertugas di Klinik Desa Kampung Star, Bertam Baru, Gua Musang,
menceritakan bagaimana 150 penduduk di situ, kelaparan dan menempuh detik cemas
setelah terperangkap selama enam hari apabila kampung mereka seakan-akan
'sebuah pulau' akibat banjir, bermula Isnin lepas. Suzana Bakar, 49, berkata
mereka menyelamatkan diri mencari tempat perlindungan di Sekolah Kebangsaan
Star, Bertam Baru dengan sehelai sepinggang tanpa sempat menyelamatkan harta
benda selepas air dari Sungai Nenggeri naik mendadak ke kawasan kampung mereka.
"Ini disebabkan kami tidak
menyangka air naik secara mendadak kerana sebelum ini tidak pernah
berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. Suzana
bagaimanapun berkata pada hari Selasa lepas, makanan terutama beras tiba dengan
jumlah sedikit setelah diusahakan pemimpin setempat serta belas ihsan daripada
orang kampung yang tinggal di kawasan tinggi. "Sebaik makanan tiba di
sekolah itu mereka berebut-rebut mendapatkan makanan yang tidak mencukupi
kerana jumlah mangsa banjir yang datang ke pusat itu bertambah setiap
hari," katanya.
Suzana berkata untuk mendapatkan
bekalan makanan dari luar terutama di Gua Musang terlalu sukar kerana tidak
boleh dilalui sebarang kenderaan berikutan arus yang sangat deras. Beliau
berkata sepanjang berada di sekolah itu, sebahagian besar mangsa memakan apa
sahaja seperti biskut dan mi segera bagi mengalas perut untuk mengelak daripada
kebuluran dan sepanjang malam pula terpaksa bergelap akibat bekalan elektrik
terputus. Bagaimanapun, Suzana bersyukur kerana ketika kejadian beliau dan
empat anak masing-masing berumur antara tiga dan 14 tahun, sempat menyelamatkan
diri ke sekolah berkenaan lebih awal apabila menyedari paras air semakin
meningkat ke paras paha dalam tempoh beberapa minit. Ketika kejadian suaminya Raibi Hamid, 39,
tiada di rumah kerana bekerja di Kuala Lumpur.
"Sebuah kereta Proton Wira
dan motosikal serta peralatan elektrik kesemuanya tidak sempat diselamatkan
apabila paras air meningkat terlalu cepat sehingga menenggelamkan sebahagian 50
buah rumah penduduk di situ," katanya.
Suzana berkata ketika berada di
sekolah itu mereka terpaksa tinggal di tingkat tiga kerana tingkat pertama dan
kedua dinaiki air, sebelum surut sepenuhnya, semalam. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan