Isnin, 14 Oktober 2013

Padah pinjam 'along' berlesen

KUANTAN -  Seorang pengawal keselamatan buntu dan kesempitan wang selepas didakwa ditipu syarikat pinjaman wang berlesen di sini.

Lelaki berusia 52 tahun itu berkata, dia mula meminjam wang daripada syarikat terbabit sejak tiga tahun lalu ekoran memerlukan wang bagi membiayai pengajian anak tunggalnya di universiti.

Menurutnya, ketika urusan peminjaman wang dilakukan, dia diberitahu kadar faedah hanya 1.5 peratus.

“Bagaimanapun, timbul tanda tanya kerana walaupun saya sudah melakukan bayaran tanpa gagal namun hutang saya masih belum langsai.

“Malah kedua-dua kad bank saya turut dipegang syarikat terbabit, manakala saya pula terpaksa ke pejabat mereka untuk mendapatkan wang gaji saya,” katanya ketika ditemui sini.

Lelaki itu berkata, dia menjadi semakin hairan apabila hanya memperoleh RM400 daripada wang gajinya dan wang pencennya daripada syarikat terbabit.

“Apabila ditanya, kerani di syarikat itu berkata, terdapat bayaran guaman yang turut dicaj pada setiap akaun pinjaman yang ada selain beberapa caj lain menyebabkan jumlah bayaran yang dikenakan mencecah RM1,600 sebulan.

“Saya sendiri buntu memikirkan cara untuk melangsaikan hutang yang ada, saya diberitahu saya perlu menjelaskan baki berjumlah RM9,600,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur, Samsudin Mohd Fauzi berkata, pihaknya menerima aduan lelaki terbabit sebelum melakukan risikan ke atas syarikat terbabit.

Samsudin berkata, syarikat yang mempunyai dua cawangan iaitu di Kuantan dan Kuala Terengganu itu menggunakan taktik penipuan moden dengan mengaburi mata peminjam mengenai caj tambahan yang dikenakan.

“Syarikat itu menggunakan helah caj guaman yang dikenakan pada setiap bulan terhadap akaun mangsa.

“Ia satu yang tidak logik dan menyebabkan peminjam perlu membayar dua hingga tiga kali ganda daripada jumlah sepatutnya,” katanya.

Samsudin berkata, tindakan syarikat itu juga membuatkan peminjam terus terikat.

“Saya harap pihak berkuasa pandang serius taktik licik syarikat ini yang mungkin menyebabkan lebih ramai peminjam tertipu,” katanya.


Samsudin berkata, mangsa sudah membuat laporan polis kerana tidak mahu terus ditipu.sinarharian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan