Shila Amzah
Shila Amzah antara artis yang melalui transformasi penghijrahan
Shila Amzah dan Sharnaaz Ahmad.
Shila Amzah dan Sharnaaz Ahmad.
“Selamat Tahun Baru!,” itulah ungkapan pertama daripada penyanyi, Shila Amzah, ketika Zass menghubunginya yang kini berada di Shanghai, China.

Sentiasa ramah dalam berbicara, penyanyi berusia 22 tahun ini semakin giat menempa nama di luar negara sejurus meraih kemenangan di Asian Wave 2012, di Shanghai, China, baru-baru ini.

Walaupun impiannya untuk menggenggam trofi sudah menjadi kenyataan, namun pelantun lagu, Patah Seribu, ini bijak menyusun perancangan demi perancangan masa depannya.

Menjuarai kategori Lagu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-19 (AIM19), Shila turut melahirkan keinginan untuk mengadakan konsert dan ‘tour’ sendiri pada tahun 2013.

“Alhamdulillah, tahun 2012 menjadi lipatan kenangan yang sangat manis buat saya. Banyak perkara yang tidak terduga akal saya berlaku pada tahun lalu. Saya berharap agar tahun 2013 juga dapat memberikan kemanisan buat saya.

“Bagi tahun ini pula, saya turut mempunyai perancangan dan sasaran tersendiri dalam karier. Selain daripada memiliki konsert sendiri, saya ingin melancarkan album Melayu yang dihasilkan sepenuhnya oleh saya sendiri.

“Tidak lupa juga bagi lagu Mandarin, saya berharap agar perjalanan karier saya berjalan dengan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan,” katanya yang kini sedang sibuk merakam album Mandarin yang bakal diterbitkan di negara itu.


Persiapan untuk AJL

Layak menjejakkan kaki ke pentas akhir Anugerah Juara lagu Ke-27 (AJL27), Shila mengakui tidak meletakkan harapan tinggi untuk bertanding di pentas berprestij itu.

Menganggap ia sebagai rezeki Allah SWT, katanya, dia tidak pernah menduga lagu ciptaannya, Patah Seribu, layak ke AJL 27, apatah lagi karya yang dipertandingkan pada kali ini mempunyai kekuatan yang tersendiri.

“Saya adalah nama terakhir yang diumumkan. Sebelum pengumuman itu, saya tidak letakkan harapan tinggi dan hanya berserah kepada-Nya.

“Namun, setelah nama saya diumumkan, saya sendiri kaget dan terharu kerana lagu ciptaan sepenuhnya oleh saya sendiri berjaya ke AJL27. Namun, tidak dinafikan, 11 lagu lain sangat hebat dan yang pasti, saingannya sangat sengit.

“Ia adalah rezeki tidak terhingga buat saya dan juga penghargaan buat ayah saya yang pernah beraksi di pentas AJL pada tahun 1995 dan 1996. Saya berjanji akan buat yang terbaik,” kata pemilik nama sebenar, Nur Shahila Amir Amzah ini.

Bakal berlangsung pada 6 Januari 2013, selain lagu Patah Seribu, 11 lagu lain termasuk Idola, nyanyian Azlan & The Typewriter, Pelangi Senja (Stacy), Terukir di Bintang (Yuna) dan Teman Pengganti (Black dan Malique), Anak Kampung (One Nation Emcees dan Jimmy
Palikat), Ombak Rindu (Hafiz dan Adira), Ku Akui (Hafiz), Andaiku Bercinta Lagi (Mojo), Tanpamu (Amir Jahari), Lagu (Bedroom Sanctuary) serta Simetri (Hazama dan Amy Search)


Dahulukan karier

Biarpun pernah mengeluarkan kenyataan untuk mendirikan rumah tangga pada tahun 2014, ruang yang ada digunakan sepenuhnya untuk mengembangkan sayap dalam industri.

Menurut Shila, keputusan itu dibuat setelah berbincang dengan kekasih hatinya, Sharnaaz Ahmad, mengenai perancangan masa depan mereka bersama.

“Buat masa ini, kami mahu fokus dalam karier masing-masing. Lagipun, kami masih muda lagi untuk menuju ke peringkat itu.

“Jadi, masa yang ada ini digunakan sepenuhnya untuk kerjaya dan mengukuhkan kedudukan dalam karier masing-masing. Buat masa ini, saya memang sibuk dengan penghasilan album dan terpaksa berulang alik ke Shanghai, begitu juga dengan dia.

“Walaupun terpaksa berjauhan, namun kami tetap berhubung dan meluangkan masa jika ada kelapangan,” katanya yang masih belum merancang untuk bertunang.sinarharian.