FAM
 

FAM
 
HANYA Presiden dan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang boleh mengeluarkan kenyataan berhubung desakan gabungan penyokong bola sepak tempatan yang mahu badan induk bola sepak itu dirombak, kata Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

"Saya tidak boleh memberi sebarang komen berhubung isu tersebut. Hanya orang yang bertauliah yang boleh memberi kenyataan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Pertandingan Piala Sultan Haji Ahmad Shah atau Piala Sumbangsih 2013 di Stadium Shah Alam semalam.

Jumaat lepas, satu gerakan gabungan penyokong bola sepak tempatan (PFSLJ) menggesa agar rombakan besar-besaran dilakukan terhadap pengurusan tertinggi FAM yang dikatakan tidak pernah bertukar sejak 28 tahun lepas.

Mengenai perlawanan Piala Sumbangsih pada Sabtu ini, Hamidin berkata, saingan yang dijangka sengit antara juara Piala Malaysia 2012, Kelantan dan naib juara, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bermula pukul 8.45 malam di Stadium Shah Alam.

Tiket berharga RM20 bagi penonton berumur 12 tahun ke atas akan mula dijual pada Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 7 malam di stadium tersebut dan pada hari perlawanan dari 9 pagi.

"Pembahagian tiket adalah sama rata kepada kedua-dua belah penyokong pasukan dan kita menyasarkan jumlah penyokong antara 30,000 hingga 40,000 orang," kata Hamidin.

Beliau berkata ATM akan mengadakan latihan Jumaat ini di stadium tersebut bermula pukul 7.30 malam hingga 8.15 malam, manakala Kelantan di venue yang sama dari pukul 8.30 malam hingga 9.15 malam. - Bernama

p/s : selagi kaki ampu ramai kat dalam FAM dan mereka yang dapatkan jawatan untuk cari makan selagi itu la bola sepak kita merudum. Negara lain jika tidak berjaya dalam sesuatu perlawanan mereka terus meletak jawatan dan digantikan dengan orang baru...bila Malaysia akan menjadi seperti negera luar yang memegang jawatan bukan untuk cari makan tetapi untuk kebaikan persatuan.