Ahad, 21 Julai 2013

PAS tidak melihat masalah pelajari Titas

KUALA LUMPUR: Subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) bukanlah subjek baru dalam sistem pendidikan negara, walaupun ia wajib diambil di institut pengajian tinggi awam (IPTA), ia tetap bukan satu subjek yang wajib lulus, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim berkata Titas yang sudah bertahun dilaksanakan di IPTA tidak pernah menjadi polemik di kalangan bukan Islam kerana ia bukanlah subjek pendidikan agama Islam sebagaimana yang digembar-gemburkan atau satu usaha terselindung bagi mengislamkan pelajar bukan Islam.

“PAS tidak melihat sebarang masalah dalam mempelajari Titas. Apa yang diajar melibatkan semua tamadun Asia, sama ada tamadun India, China dan tamadun negara-negara rantau Asia. Semua sejarah tamadun samada Islam, Hindu atau Budha yang merupakan kejayaan sejarah Tamadun lampau perlu diperkenalkan, bagi membentuk kefahaman sebenar terhadap tamadun dan budaya tersebut,” katanya. 

Mengetahui asal-usul tamadun-tamadun, ujar Tuan Ibrahim, boleh membantu mengurangkan jurang perbezaan antara masyarakat berbilang agama yang ‘sering dimanipulasikan sehingga timbul prasangka sesuatu agama adalah satu ancaman kepada agama lain’.

Katanya lagi, Malaysia yang terdiri dari pelbagai agama dan budaya perlu dibina kefahaman yang betul terhadap aspek budaya dan tamadun agama dan negara. 

“PAS menolak sebarang usaha untuk mendorongnya ke arah nilai yang negatif. Negara rantau ini pernah diperintah dengan pelbagai bentuk tamadun, dan rakyat dari pelbagai agama dan budaya dapat hidup dengan harmoni adalah catatan sejarah yang sangat berharga, yang perlu diketengahkan kepada generasi kini,” tegasnya.

Kalau kerajaan telah berjaya laksanakan di IPTA, maka PAS yakin ianya perlu dilaksanakan di IPTS agar nilai murni yang berjaya diserap dalam subjek ini dapat dimanfaatkan oleh semua pelajar, tambah beliau.

“Bahkan, tindakan kementerian yang tidak mewajibkan lulus subjek ini telah dianggap satu usaha toleransi akademik yang tinggi,” kata Tuan Ibrahim.

Bagi pihak yang bimbang dan menolak Titas menjadi subjek wajib kerana kandungan Titas yang disyaki mereka diubah untuk tujuan politik tertentu, Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata PAS berjanji akan memastikan ‘sebarang usaha untuk menyeleweng silibus Titas dengan fakta sejarah yang palsu untuk tujuan politik, jika wujud, akan ditentang habis-habisan’.

sumber:harakahdaily.net

Tiada ulasan:

Catat Ulasan