Ahad, 21 Julai 2013

Nyawa Wanita Malaysia Diancam Kumpulan Kongsi Gelap Di Chennai

CHENNAI: Seorang ahli perniagaan wanita Malaysia, yang membiayai pembikinan sebuah filem Tamil, yang mengisahkan perebutan kuasa oleh kumpulan gengster, kini dalam ketakutan selepas menjadi sasaran kumpulan kongsi gelap tempatan.
V. Jayalakshmi telah mula membiayai kos produksi filem tersebut secara berperingkat sejak 2008 apabila diyakinkan oleh seorang pengarah filem tempatan di sini, bahawa filem 'Agam Puram" (Dua Muka) mampu membawa pulangan bernilai jutaan.
Beliau mendakwa telah menghabiskan kira-kira RM500,000 untuk membiayai pembikinan filem itu dan ketika diminta memulangkan wang modal itu pada Julai lepas, pengarah filem itu enggan memberikannya.
Jayalakshmi, 56, seorang pengusaha agensi pelancongan di Klang, Selangor, kemudian memfailkan permohonan injunksi di mahkamah bagi menghalang penayangan filem itu di sini sehingga wangnya dikembalikan.
Hakim Mahkamah Tinggi Madras, S. Rajeswaran membenarkan permohonan injunksi itu sehingga semalam tetapi menolak permohonan Jayalakshmi untuk melanjutkan tempoh injunksi itu.
Filem, yang dibintangi oleh Shamsuddin Ibrahim, yang popular dengan namaShaam, dan pelakon wanita baru, Meenakshi, kini ditayangkan di pawangamtempatan. "Saya sudah kehilangan semua wang dari hasil titik peluh saya...dia (pengarah) enggan memulangkan wang saya seperti dijanjikan. Sebaliknya, gengster mengancam nyawa saya di Chennai.
"Empat orang datang ke bilik hotel saya dan mengugut akan membunuh saya di sini ataupun di Malaysia," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.
"Saya hanya mahu wang saya dikembalikan. Saya turut meminjam wang untuk membiayai filem itu dan kini saya tidak berdaya lagi," jelasnya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan