Sabtu, 2 Februari 2013

Nazmi Faiz kembali ke Malaysia bukan kerana Tengku


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
NAZMI dikatakan kembali ke tanah air untuk beraksi dalam saingan Liga Super bersama Selangor PKNS.



KEPULANGAN ‘arkitek’ muda negara, Muhammad Nazmi Faiz Mansor ke Malaysia selepas dikhabarkan tidak lagi bersama kelab Portugal, S.C. Beira-Mar bukannya berpunca daripada masalah peribadi.
Bapa Nazmi, Mansor Mustapha memberitahu, emosi anak keempatnya daripada lima beradik itu berada dalam keadaan stabil sebaik tiba di tanah air baru-baru ini.
Enggan mendedahkan punca sebenar kepulangan semula Nazmi ke Malaysia, Mansor sebaliknya menafikan tumpuan anaknya terjejas ekoran kontroversi yang tercetus baru-baru ini.
“Buat masa ini saya tidak dapat mengulas lanjut mengenai apa sebenarnya yang berlaku kerana perlu merujuk kepada ejen Nazmi (Marco Guimaraes) dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) terlebih dulu.
“Ketika ini, emosi Nazmi berada dalam keadaan stabil dan telah berada di Malaysia bersama keluarga.
“Insya-Allah, satu sidang akhbar akan diadakan dalam masa terdekat seawal-awalnya Isnin ini,” kata Mansor semasa dihubungi Kosmo! semalam.
Baru-baru ini, Nazmi mendapat perhatian banyak pihak apabila secara terbuka mengaitkan pemain kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak dengan bekas teman wanitanya, Tengku Norshufilla Tengku Shubli (gambar).
Nazmi menerusi Twitter peribadinya mendakwa, Tengku Norshufilla, 21, yang juga mesra dengan panggilan Tengku Fiella dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan Aidil yang merupakan bekas suami kepada aktres, Rita Rudaini itu.
Nazmi kemudiannya memadam semula status Twitter berkenaan manakala Tengku Fiella juga tampil menafikan memiliki hubungan istimewa dengan Aidil.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai masa depan Nazmi bersama Beira-Mar yang dilihat seakan-akan ternoktah selepas dikatakan bakal beraksi dengan kelab Selangor PKNS dalam saingan Liga Malaysia selepas ini, Mansor juga enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Pada masa sama, Mansor juga memberi jaminan bahawa Nazmi hanya akan tampil bertemu media apabila benar-benar sudah bersedia.
Begitupun, Nazmi dikatakan akan menandatangani kontrak dengan Selangor PKNS hari ini.
“Semuanya akan diperjelaskan pada sidang akhbar nanti,” katanya ringkas sambil enggan mendedahkan lokasi sebenar Nazmi ketika ini.
Cubaan pemberita mendapatkan Nazmi di kediaman keluarganya di AU5, Lembah Keramat, Kuala Lumpur petang semalam juga menemui jalan buntu ekoran kediaman itu dilihat tidak berpenghuni.
Beberapa jiran yang enggan dikenali memberitahu, keluarga Nazmi tidak lagi menetap secara tetap di situ, sebaliknya hanya pulang sekali-sekala.
Untuk rekod, Nazmi sebelum ini menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama Beira-Mar pada 21 Mei 2012 selepas mempamerkan aksi memberangsangkan ketika membantu Harimau Muda mengharungi kempen kelayakan Olimpik 2012 London Zon Asia.
Dalam pada itu, pegawai media Selangor PKNS, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid mengesahkan yang Nazmi bakal menyertai kelab itu, dan satu sidang akhbar khas akan diadakan di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya hari ini.
Begitupun, segala butiran lanjut mengenai perpindahan itu katanya, akan dimaklumkan pada sidang akhbar berkenaan.
Pada masa sama, beliau membayangkan yang Nazmi bakal beraksi bersama Selangor PKNS sehingga penghujung musim dan bukannya sekadar pemain pinjaman semata-mata.Kosmo.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan