Jumaat, 9 Mac 2012

CUEPACS ANGGAP ISU SBPA SELESAI

KAKITANGAN Imigresen Malaysia gembira selepas Najib umum 13 peratus kenaikan untuk kakitangan awam  di Putrajaya, semalam.
KAKITANGAN Imigresen Malaysia gembira selepas Najib umum 13 peratus kenaikan untuk kakitangan awam di Putrajaya, semalam.
Kongres gembira sebahagian besar tuntutan kakitangan awam dipenuhi

PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menganggap isu dan polemik mengenai Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) selesai selepas ia dibatalkan dan penggajian diteruskan mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM). Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai perkara itu melegakan dan menggembirakan lebih 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara. Kita harap selepas ini, kakitangan kerajaan akan lebih fokus kepada tugas masing-masing dan tidak timbul lagi soal tidak puas hati kerana sebahagian besar tuntutan kita sudah dipenuhi. - Datuk Omar Osman, Presiden CUEPACS. Katanya, kenaikan gaji itu adalah adil dan saksama serta memberi kebaikan kepada semua penjawat awam kerana SBPA membentuk jurang antara kumpulan pengurusan dengan kumpulan utama.

“Kita harap selepas ini, kakitangan kerajaan akan lebih fokus kepada tugas masing-masing dan tidak timbul lagi soal tidak puas hati kerana sebahagian besar tuntutan kita sudah dipenuhi.

“Kalau nak ikut rasa tidak puas hati sampai bila pun masalah tidak selesai... sekarang kita kena jenamakan semua sikap kerana CUEPACS sentiasa berunding untuk menambahbaik gaji kakitangan awam,” katanya.

Dalam pada itu, Omar juga gembira kerana kerajaan turut memansuhkan dasar pemisah (exit policy) selari pembatalan dasar SBPA.
Beliau berkata, dengan pelarasan gaji berkenaan, tidak ada lagi kakitangan awam menerima pendapatan kurang daripada gaji minimum swasta yang diumumkan antara RM800 hingga RM1,000 baru-baru ini.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Pheng, berkata laluan kerjaya yang lebih luas bagi guru memberi manfaat kepada lebih 400,000 golongan itu di seluruh negara.

“Langkah ini menunjukkan golongan pendidik tetap diberikan keutamaan oleh kerajaan kerana guru siswazah (Gred DG41) dan bukan siswazah (DG29) kini tidak perlu menunggu sehingga 10 tahun untuk naik pangkat atau gred lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) pula meminta kerajaan mengawal kenaikan harga barang di pasaran selepas pengumuman Perdana Menteri supaya tidak menjejaskan penjawat awam yang menikmati pelarasan gaji serta kenaikan elaun sara hidup.

Presidennya, Khairil Niza Khairuddin, berkata selain itu KPISM berharap kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan sentiasa berbincang serta berhubung rapat dengan CUEPACS dalam menentukan hala tuju skim perkhidmatan awam yang lebih baik dan jitu pada masa depan.
sumber:beritaharian.

PM umum pemansuhan SBPA, Sistem Saraan Malaysia ditambah baik

PUTRAJAYA: Berita gembira buat 1.4 juta kakitangan awam apabila kerajaan semalam mengumumkan pelarasan gaji tujuh hingga 13 peratus bagi semua gred penjawat awam, selain kenaikan Elaun Sara Hidup (COLA). Dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung melalui TV1 dan TV3, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut mengumumkan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diperkenalkan 1 Januari lalu tetapi banyak menimbulkan kontroversi, dibatalkan. Kerajaan memutuskan penggajian kakitangan awam dikekalkan di bawah sistem Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang akan ditambah baik.

Pelarasan gaji berdasarkan Jadual Gaji Matriks (JGM) SSM itu menyaksikan Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Pelaksana Gred 1 hingga 54 menikmati pelarasan sebanyak 13 peratus.

Gred Utama dan Gred Khas C, B dan A akan menikmati pelarasan sembilan peratus, Turus III dan II (lapan peratus) dan Turus I serta Ketua Setiausaha Negara (tujuh peratus).

Selain itu, kadar COLA bagi kawasan B (di antara bandar dan pedalaman) dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan, manakala untuk kawasan C (pedalaman) daripada RM100 kepada RM150.
Pelarasan gaji itu berkuat kuasa 1 Januari lalu yang mana penjawat awam akan menerima gaji tertunggak. Difahamkan, gaji baru akan dibayar sama ada akhir bulan ini atau bulan depan.

Ia antara tujuh keputusan diumumkan Perdana Menteri pada perhimpunan khas Penjawat Awam Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang dihadiri 15,000 penjawat awam, semalam.

Najib berkata, kerajaan faham SBPA mengundang keresahan, terkilan dan perasaan tidak puas hati dalam kalangan penjawat awam walaupun ia komited untuk mempertimbangkan semakan semula, pelarasan gaji atau satu bentuk saraan baru bagi menggantikan SSM pada tahun ini.

“Sebagai kerajaan yang merasai denyut nadi mereka (penjawat awam), sebagai kerajaan yang mendengar keluh kesah penjawat awam menerusi wakil mereka, CUEPACS, maka kita mengambil keputusan pada 12 Januari lalu supaya struktur saraan baru yang diperkenalkan, dikaji semula,” katanya.

Perdana Menteri berkata, keputusan yang diambil kerajaan itu adalah berdasarkan kepada saranan CUEPACS berkaitan saraan penjawat awam serta implikasi kewangan kerajaan yang mungkin terbabit.

“Anggota perkhidmatan awam adalah tiang seri keramat kerajaan, sebaik mana pun dasar digubal, betapa manfaat pun dasar digubal, ia tidak akan bermakna jika pelaksanaannya tidak berkesan atau tidak cekap (kerana) peranan penjawat awam sebagai pelaksana dasar adalah amat penting,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan peka dan prihatin dengan isu saraan yang dibangkitkan oleh penjawat awam yang menyaksikan semakan semula gaji perkhidmatan awam secara berkala dan yang terakhir dilakukan pada 2007 membabitkan kenaikan gaji antara 7.5 peratus hingga 35 peratus.

Najib berkata, dalam membuat keputusan, kerajaan perlu memikirkan langkah terbaik yang perlu mendahulukan kepentingan rakyat, tetapi pada masa sama faktor lain terutama keupayaan kewangan kerajaan, tidak diketepikan.

“Kerajaan amat mengharapkan kefahaman dan kerjasama penjawat awam untuk bersama-sama mengharungi dan mendepani cabaran ekonomi global yang tidak menentu walaupun kita telah berjaya mengeluarkan negara daripada gelora ekonomi global," katanya.

INFO: Keputusan lain yang diumumkan Perdana Menteri



  • Penubuhan suruhanjaya dianggotai oleh semua pihak berkepentingan mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia yang bukan saja membabitkan saraan, tetapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam yang diperlukan negara pada masa depan.

  • Struktur gaji SSM akan diubah suai daripada Jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-Maksimum dengan kadar kenaikan gaji tahunan (KGT) bagi gred 1-54 ditetapkan di antara RM80 hingga RM320 mengikut gred. KGT bagi JUSA dan ke atas kekal menggunakan KGT SSM dengan pelarasan ikut peratus ditetapkan.

  • Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) dikekalkan.

  • Kerajaan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya bagi guru berasaskan prinsip ‘time-based’ Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti diumumkan dalam Bajet 2012.

  • sumber:cuepacs.blogspot.com

  • Selasa, 6 Mac 2012

    Ustaz mengaku salah, minta maaf atas kematian murid

    ALOR SETAR - "Saya mohon kemaafan dari semua pihak terlibat kerana tindakan saya menyusahkan banyak pihak Yang Arif," kata Hanif Mohamad Ali, 28, yang dituduh menyebabkan kematian seorang murid, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, tahun lalu.

    Menurutnya, apa yang berlaku (tindakan tertuduh terhadap mangsa) adalah di luar jangkaannya dan memohon supaya mahkamah memberi peluang kepadanya untuk membaiki diri serta bertaubat.

    “Saya merayu dikenakan hukuman selayaknya kerana masih mempunyai dua orang tua yang uzur dan pinjaman pengajian serta hutang peribadi perlu dibayar,” katanya dengan nada sebak ketika diberi peluang bercakap selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

    Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab, menerima keputusan salah tertuduh yang dibuat secara sukarela tanpa ada unsur paksaan dan menetapkan hari ini (Rabu) untuk menetapkan keputusan hukuman terhadap tertuduh.

    Sebelum itu, peguam mewakili tertuduh, Azizul Shariman Mat Yusof, meminta mahkamah menimbang beberapa faktor untuk menjatuhkan hukuman setimpal terhadap warden sekolah itu kerana semasa kejadian baru berumur 27 tahun.
    “Hanif anak kedua daripada empat beradik, belum berkahwin, mendapat pendidikan sijil Matrikulasi di Melaka dalam Sains Fizik. Bapanya, pesara pengawal keselamatan dan ibu suri rumah. Mula mengajar di Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Arau, Perlis sejak 2008, dengan gaji RM800 sebulan itu, dia menanggung kedua ibu bapa serta adik yang masih bersekolah,” katanya.

    Sementara itu, suasana semakin sayu apabila tertuduh yang memakai kemeja putih berjalur dilihat menundukkan wajah dan sesekali mengesat air mata dengan sapu tangan ketika peguam membacakan latar belakangnya.

    Azizul berkata, mahkamah wajar memberi peluang kepada tertuduh kerana hukuman ini akan menjadi pengajaran terhadapnya pada masa akan datang serta mempunyai banyak masa untuk membaiki dirinya. Hanif didakwa melakukan kesalahan berkenaan di bilik warden asrama putera, sekolah itu antara jam lebih kurang 6 petang hingga 12 malam pada 31 Mac 2011.

    Dalam kejadian itu, Saiful koma tiga hari sebelum meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada 3 April 2011 selepas dikatakan dipukul oleh warden itu ketika menyiasat kes curi di asrama sekolah berkenaan. Dia dituduh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda kerana menyebabkan kematian kepada mangsa.

    Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap tertuduh kerana kesalahan dilakukan menyebabkan kematian terhadap murid berumur tujuh tahun tidak boleh dipandang ringan.

    “Kesalahan ini amat serius dan melibatkan kepentingan awam. Tertuduh salah guna kuasa pendidik untuk melakukan tindakan disiplin dimaksudkan tertuduh dengan mengikat mangsa pada kerusi serta mencekik leher mangsa yang tidak berdaya mempertahankan diri.

    “Tidak ada agama membenarkan perbuatan mendera. Tindakan tertuduh turut mencemarkan imej sekolah agama berkenaan dan status ustaz yang berpendidikan tinggi namun sanggup melanggar batas kemanusiaan,” katanya. Pendakwaan dikendalikan oleh empat Timbalan Pendakwa Raya iaitu Noorin Badaruddin, Najib Zakaria, Nadia Hanim Mohd Tajuddin dan Azhar Mohthar.

    Manakala, tertuduh diwakili lima peguam iaitu Arif Azami Hussein, Azizul Shariman Mat Yusof, Mohamed Hanipa Maidin, Mohd Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri.sinarharian.

    Ibu rakam anak dirogol teman lelaki

    SHAH ALAM - Seorang janda bukan sahaja bertindak keji membiarkan anaknya diratah teman lelakinya, malah tambah jijik dia tergamak merakam aksi rogol itu menggunakan telefon bimbit untuk kepuasan nafsu.

    Nasib kanak-kanak berusia 11 tahun itu mendapat pembelaan apabila Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 21 tahun terhadap wanita itu kerana bersubahat dengan teman lelakinya merogol mangsa, tiga tahun lalu.

    Hakim Latifah Mohd Tahar turut menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 15 sebatan terhadap tertuduh Ma Kassim Sirat, 44.

    Ma Kassim, pemandu teksi, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan merogol mangsa di sebuah pangsapuri di Rawang pada 12 tengah malam, pertengahan Disember 2009 dan 30 Januari 2010, dan jam 10 malam, Mac 2010.

    Sementara itu, ibu kanak-kanak itu didakwa bersubahat dengan teman lelakinya di tempat dan masa yang sama.

    Pasangan kekasih itu didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Peguam Roland Engan dan M Hafiz Zainol Abidin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira pengakuan salah anak guamnya yang telah insaf dan menyesal.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hemy Annerina Haja Mydin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana peranan ibu mangsa yang bersubahat dalam kes itu amat mendukacitakan.

    "Perkara ini menyedihkan kerana ia tidak pernah didengar dalam mana-mana kes sebelum ini," katanya.

    Beliau yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya R Kalaiyarasi berkata, mahkamah perlu mengambil kira kesan terhadap mangsa yang trauma sepanjang hayat akibat perbuatan kedua-dua tertuduh.

    "Setiap hari, mangsa akan tertanya-tanya mengapa ibunya sendiri tidak menyelamatkannya (dari kejadian rogol). Hanya disebabkan oleh nafsu kedua-dua tertuduh, mangsa berdepan titik hitam dalam hidupnya. Kecederaan fizikal boleh diperbaiki, tetapi tidak emosi," katanya.

    Berdasarkan keterangan mangsa, ibu memanggilnya masuk ke bilik tidur sebelum Ma Kassim merogolnya.

    Pada kejadian kedua, ibu mengumpan mangsa dengan hadiah sempena hari lahir dan pada kejadian terakhir, wanita itu merakam perbuatan terkutuk lelaki itu.sinarharian.

    Rogol gadis: Bapa dua anak dijel lima tahun

    MELAKA 5 Mac. - Seorang bapa kepada dua anak dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol seorang gadis bawah umur sebanyak tiga kali pada Februari dua tahun lalu.
    Mengikut pertuduhan pertama, Mohammad Zarul Sapuan Abd. Razak, 21, dituduh merogol gadis berusia 15 tahun itu di Taman Rekreasi, Dataran Jasin, di sini pada pukul 4 pagi pertengahan Februari 2010.
    Mohammad Zarul Sapuan turut didakwa mengulangi perbuatan tersebut terhadap mangsa di tempat sama pada pukul 2 pagi dan 2.30 pagi, hujung Februari 2010.
    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima dan 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
    Semasa mengemukakan rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Mohd. Hasryzal Badasary yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan tertuduh mengalami kecederaan di kepala sehingga tempurung kepalanya pecah akibat dipukul orang ramai ketika ditangkap.

    Pakistan pula merogol amoi dalam tandas akibat tak tahan terlampau seksi.

    KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan warga Pakistan yang kemaruk seks hilang pertimbangan apabila sanggup mencekik, memukul sebelum merogol seorang penuntut kolej dalam tandas sebuah pangsapuri di Batu 6 1/2, Jalan Puchong, di sini kelmarin.
    Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa berusia 22 tahun bersama keluarganya ke pangsapuri berkenaan selepas abangnya berhasrat membelinya.

    Menurut sumber, beberapa minit kemudian, mangsa memberitahu kakak iparnya mahu ke tandas tanpa menyedari gerak-gerinya diperhatikan pengawal keselamatan terbabit.

    “Pengawal yang gagal mengawal nafsunya meminta mangsa melakukan seks,” katanya.

    Mangsa enggan dan dia yang ketakutan cuba melarikan diri namun gagal apabila tangannya dipegang sebelum dicekik menyebabkan mangsa sukar bernafas.

    “Pengawal yang melihat mangsa mula lemah dan hampir pitam bertindak menarik seluar mangsa sebelum merogolnya,” katanya.


    Menurutnya, ibu mangsa pelik hampir setengah jam anak gadisnya dalam tandas memanggil nama anaknya itu berulang kali apabila menyedari pintu tandas dikunci daripada dalam.

    Sumber berkata, pengawal itu cuba melawan melepaskan diri dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu datang membantu dan menangkapnya sebelum dibawa ke Balai Polis Petaling untuk tindakan lanjut.

    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa mengesahkan penahanan lelaki terbabit yang direman 14 hari.Harianmetro.

    Balai polis kena serang, polis minta penduduk bertenang

    GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang meminta penduduk di sekitar Teluk Bahang bertenang dan memberi masa kepada pihak polis menyelesaikan siasatan kes serangan balai polis di situ oleh kira-kira 100 orang kampung yang kurang senang dengan sikap seorang anggota polis ketika menjalankan tugas membanteras mat rempit.
    Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata anggota polis yang berpangkat lans koperal itu sudah ditukarkan ke unit lain dan siasatan terhadapnya masih dijalankan.
    "Polis memandang serius perkara ini. Kita tidak berniat untuk menyembunyikan perkara ini daripada pengetahuan awam... sesiapa yang didapati bersalah pasti dikenakan tindakan undang-undang.

    "Justeru, kita minta pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes itu tampil memberi kenyataan untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


    Beliau berkata sehingga kini empat laporan polis dibuat berhubung kes itu.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam Sabtu, anggota polis itu didakwa membaling topi keledar ke arah sekumpulan mat rempit yang sedang menunggang motosikal sehingga menyebabkan lima daripada mereka terjatuh.

    Dua daripada mereka yang parah dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang.

    Akibat insiden itu, kira-kira 100 penduduk di kampung terbabit berang dan membaling batu dan kayu ke arah balai polis kira-kira pukul 6.30 semalam.

    Mereka bersurai empat jam kemudian setelah rundingan antara pegawai polis dan wakil penduduk berhasil. - BERNAMA